Agama
wajib dipelihara ketulenannya supaya tidak berlaku campur aduk antara rekaan
manusia dan perintah Allah dan Rasul-Nya. Jika agama boleh direka cipta, maka
wahyu sudah tentu tidak diperlukan, juga Rasul tidak perlu diutuskan. Oleh itu
Islam mengharamkan pembohongan di atas nama agama.
Dalam
persoalan hadis, ramai kalangan kita yang begitu tidak berdisiplin dalam
memetik hadis-hadis Nabi s.a.w., begitu juga dalam menghuraikannya.
Sebahagiannya langsung tidak mengambil berat persoalan kethabitan iaitu
kepastian di atas ketulenan sesebuah hadis.
Apa
sahaja yang dikatakan hadis terus sahaja dibacakan kepada masyarakat tanpa
meneliti takhrij dan tahqiq (keputusan) para ulama hadis terhadap kedudukannya.
Lebih
malang ada yang menyangka apa sahaja yang dikatakan hadis maka pastinya sahih
dan wajib diimani.
Dengan
itu apa sahaja yang mereka temui daripada buku bacaan, yang dikatakan hadis
maka mereka terus sandarkan kepada Nabi s.a.w. tanpa usul periksa, sedangkan
mereka lupa akan amaran yang diberikan oleh baginda Nabi s.a.w. dalam hadis
yang mutawatir: “Sesungguhnya berdusta ke atasku (menggunakan namaku) bukanlah
seperti berdusta ke atas orang lain (menggunakan nama orang lain).
“Sesiapa
yang berdusta ke atasku dengan sengaja, maka siaplah tempat duduknya dalam
neraka.” (Riwayat al-Bukhari, Muslim, dan selain mereka).
Berbohong
menggunakan nama Nabi s.a.w. adalah satu jenayah yang dianggap sangat berat di
dalam Islam. Perbohongan atau berdusta menggunakan Nabi s.a.w. adalah menyandar
sesuatu perkataan, atau perbuatan, atau pengakuan kepada Nabi s.a.w. secara
dusta, yang mana baginda tidak ada kaitan dengannya.
Ini
seperti menyebut Nabi s.a.w. bersabda sesuatu yang baginda tidak pernah
bersabda, atau berbuat, atau mengakui sesuatu yang baginda tidak pernah
melakukannya.
Maka
sesuatu yang dikaitkan dengan Nabi s.a.w. sama ada perkataan, atau perbuatan
atau pengakuan, maka ia disebut sebagai al-hadis.
Namun
menyandar sesuatu kepada Nabi s.a.w. secara dusta, bukanlah hadis pada
hakikatnya. Cuma ia disebut hadis berdasar apa yang didakwa oleh perekanya dan
ditambah perkataan al-Maudu’, atau al-Mukhtalaq iaitu palsu, atau rekaan. Maka
hadis palsu ialah: “Hadis yang disandarkan kepada Nabi s.a.w. secara dusta, ia
tidak ada hubungan dengan Nabi s.a.w.” (lihat: Nur al-Din Itr, Manhaj al-Nadq
fi ‘Ulum al-Hadis, m.s.301, cetakan: Dar al-Fikr al-Mu‘asarah, Beirut).
Perbuatan
ini adalah jenayah memalsu ciptakan agama, kerana Nabi adalah sumber
pengambilan agama. Seperti seseorang yang memalsukan pasport di atas nama sesebuah
kerajaan. Ia sebenarnya melakukan pembohongan dan jenayah terhadap kerajaan
tersebut.
Kedudukan
Nabi s.a.w. tentunya lebih besar dan agung untuk dibandingkan. Oleh itu dalam
riwayat yang lain Nabi s.a.w. menyebut: “Jangan kamu berdusta ke atasku, sesiapa
berdusta ke atasku maka dia masuk neraka.” (Riwayat al-Bukhari dan Muslim).
Kata al-Hafizd Ibn Hajar al-‘Asqalani (meninggal 852H) dalam mengulas hadis
ini: “Ia merangkumi setiap pendusta ke atas Nabi s.a.w. dan semua jenis
pendustaan ke atas baginda.”
Mendengar
Maksudnya:
“Jangan kamu sandarkan pendustaan ke atasku (menggunakan namaku)” (rujukan: Ibn
Hajar al-‘Asqalani, Fath al-Bari, jld 1, m.s. 270, cetakan: Dar al-Fikr,
Beirut).
Bukan
sahaja membuat hadis palsu itu haram, bahkan meriwayatkannya tanpa diterang
kepada orang yang mendengar bahawa ia adalah hadis palsu juga adalah sesuatu
yang haram.
Kata
al-Imam Ibn al-Salah (meninggal 643H): “Tidak halal kepada sesiapa yang
mengetahui ia hadis palsu meriwayatkannya dalam apa bentuk sekalipun, melainkan
disertai dengan menerangkan kepalsuannya.” (Ibn al-Salah,‘Ulum al-Hadis, m.s.
98)
Misalnya
di tanah air kita, didapati apabila munculnya bulan Rejab dan Syaaban maka
hadis-hadis palsu mengenai bulan-bulan tersebut akan dibaca dan diajar secara
meluas. Antaranya hadis: “Rejab bulan Allah, Syaaban bulanku dan Ramadan bulan
umatku.”
Ini
adalah hadis palsu yang direka oleh Ibn Jahdam. (lihat: Ibn Qayyim
al-Jauziyyah, al-Manar al-Munif fi al-Sahih wa al-Dha‘if, m.s. 95, cetakan:
Maktab al-Matbu‘at al-Islamiyyah, Halab, Syria). Nama penuh Ibn Jahdam ialah
Ali bin Abdillah bin Jahdam al-Zahid.
Ibn
Jahdam meninggal pada tahun 414H. Beliau adalah seorang guru sufi di Mekah. Dia
juga dituduh membuat hadis palsu mengenai solat Raghaib (iaitu solat pada
Jumaat pertama bulan Rejab). (lihat: al-Imam al-Zahabi, Mizan al-‘Itidal fi
Naqd al-Rijal,. 5, m.s. 173, cetakan: Dar al-Kutub al-‘Ilmiyyah, Beirut).
Sebab
itulah al-Imam Ibn al-Salah (meninggal 643H) menyebut: Ada beberapa golongan
yang membuat hadis palsu, yang paling bahaya ialah puak yang menyandarkan diri
mereka kepada zuhud (golongan sufi).
Mereka
ini membuat hadis palsu dengan dakwaan untuk mendapatkan pahala. Maka orang
ramai pun menerima pendustaan mereka atas thiqah (kepercayaan) dan
kecenderungan kepada mereka.
Kemudian
bangkitlah tokoh-tokoh hadis mendedahkan keburukan mereka ini dan
menghapuskannya. Alhamdulillah. (Ibn al-Salah, ‘Ulum al-Hadis, m.s. 99)
Golongan
penceramah, imam, khatib, dan media massa pula, ada menjadi ejen menyebarkan
hadis-hadis palsu mengenai amalan-amalan yang dikatakan disunatkan pada
bulan-bulan tersebut.
Kata
al-Imam Ibn Qayyim al-Jauziyyah (wafat 751H): Hadis-hadis mengenai solat
Raghaib pada Jumaat pertama bulan Rejab kesemuanya itu adalah palsu dan dusta
ke atas Rasulullah s.a.w.
Begitu
juga semua hadis mengenai puasa bulan Rejab dan solat pada malam-malam tertentu
adalah dusta ke atas Nabi s.a.w. Demikian juga hadis-hadis mengenai solat pada
malam Nisfu Syaaban (kesemuanya adalah palsu).
Solat-solat
ini direka selepas empat ratus tahun munculnya Islam (Ibn al-Qayyim, al-Manar
al-Munif, m.s. 95-98).
Sebenarnya
hadis sahih mengenai kebaikan malam Nisfu Syaaban itu memang ada, tetapi
amalan-amalan tertentu khas pada malam tersebut adalah palsu.
Hadis
yang boleh dipegang dalam masalah Nisfu Syaaban ialah: “Allah melihat kepada
hamba-hamba-Nya pada malam Nisfu Syaaban, maka Dia ampuni semua hamba-hambaNya
kecuali musyrik (orang yang syirik) dan yang bermusuh (orang benci membenci)
(Riwayat Ibn Hibban, al-Bazzar dan lain-lain).
Al-Albani
mensahihkan hadis ini dalam Silsilah al-Ahadis al-Sahihah. (jilid 3, m.s. 135,
cetakan: Maktabah al-Ma‘arf, Riyadh).
Hadis
ini tidak mengajar kita apakah bentuk amalan malam berkenaan. Oleh itu,
amalan-amalan khas tertentu pada malam tersebut bukan dari ajaran Nabi s.a.w.
Kata
Dr. Yusuf al-Qaradawi dalam menjawab soalan berhubung dengan Nisfu Syaaban:
“Tidak pernah diriwayatkan daripada Nabi s.a.w. dan para sahabat bahawa mereka
berhimpun di masjid untuk menghidupkan malam Nisfu Syaaban, membaca doa
tertentu dan solat tertentu seperti yang kita lihat pada sebahagian negeri
orang Islam.”
Bahkan
di sebahagian negeri, orang ramai berhimpun pada malam tersebut selepas maghrib
di masjid.
Mereka
membaca surah Yasin dan solat dua rakaat dengan niat panjang umur, dua rakaat
yang lain pula dengan niat tidak bergantung kepada manusia, kemudian mereka
membaca doa yang tidak pernah dipetik dari golongan salaf (para sahabah,
tabi‘in dan tabi’ tabi‘in). Ia satu doa yang panjang, yang menyanggahi nusus
(al-Quran dan sunah) juga bercanggahan dan bertentang maknanya.
Ibadat
Perhimpunan
(malam Nisfu Syaaban) seperti yang kita lihat dan dengar yang berlaku di
sebahagian negeri orang Islam adalah bidaah dan diada-adakan. Sepatutnya kita
melakukan ibadat sekadar yang dinyatakan dalam nas.
Segala
kebaikan itu ialah mengikut salaf, segala keburukan itu ialah bidaah golongan
selepas mereka, dan setiap yang diadakan-adakan itu bidaah, dan setiap yang
bidaah itu sesat dan setiap yang sesat itu dalam neraka. (Dr. Yusuf al-Qaradawi,
fatawa Mu‘asarah jilid 1, m.s. 382-383, cetakan: Dar Uli al-Nuha, Beirut).
Inilah
kenyataan Dr. Yusuf al-Qaradawi, seorang tokoh ulama umat yang sederhana dan
dihormati.
Namun
dalam masalah ini beliau agak tegas kerana ia bercanggah dengan apa yang dibawa
oleh Rasulullah s.a.w.
Justeru,
hadis-hadis palsu mengenai Rejab dan Syaaban ini hendaklah dihentikan dari
disebarkan ke dalam masyarakat. Kita perlu kembali kepada agama yang tulen.
Hasil
dari memudah-mudahkan dalam hal seperti ini maka muncullah golongan agama yang
suka mendakwa perkara yang bukan-bukan.
Dengan
menggunakan nama agama segala rekaan baru dibuat untuk kepentingan diri dan
kumpulan. Islam tidak pernah memberi kuasa kepada golongan agama, atau sesiapa
sahaja untuk mendakwa apa yang dia suka kemudian menyandarkannya kepada agama.
Agama
kita rujukannya ialah al-Quran dan al-sunah yang dipastikan kesabitannya
mengikut yang diputuskan oleh para ulama hadis. Kata al-Syeikh Muhammad bin
Muhammad Abu Syahbah (seorang ulama hadis al-Azhar): “Masih ada para penceramah
yang tidak ada ilmu hadis, sama ada ilmu riwayat atau dirayah (mengenai teks
hadis).”
Mereka
hanya membaca hadis apa yang mereka hafal dan dari tulisan-tulisan tanpa
mengetahui kedudukan hadis tersebut.
Apa
yang mereka pentingkan hanyalah reda orang ramai. Lalu mereka menyebut perkara
yang berlebih-lebih, pelik dan ajaib yang Islam tiada kaitan dengannya.
Mereka
ini sepatutnya dihalang dari berceramah, memberi nasihat dan bertazkirah. (Abu
Syahbah, al-Wasit fi ‘Ulum wa al-Mustalah al-Hadis, m.s. 322, cetakan: Dar
al-Fikr al-‘Arabi, Kaherah).
Saya menyeru diri
sendiri, para penceramah, ustaz-ustaz, media elektronik dan cetak, bahkan semua
pihak yang membaca sesuatu hadis memastikan kesahihannya dahulu. Semoga Rejab
dan Syaaban tahun ini tidak dibaluti dengan pembohongan terhadap Nabi s.a.w
Tiada ulasan:
Catat Ulasan